Tuesday, August 25, 2009

Juadah Ramadhan

berhati-hati membeli juadah di gerai. makan makanan kurang berkhasiat mengundang kesihatan diri yang tidak baik. Banyak kandungan minyak yang boleh mengundang sakit jantung dengan kadar kolestrol yang tinggi akan menyusahkan hidup anda. hati-hati ketika makan.


Ramadan jana keperibadian mulia

Syiar Ramadan

RAMADAN saban tahun datang dengan penuh rahmat dan berkat. Kecil 
besar, tua muda dan miskin kaya akan merasai nikmat serta kehebatan 
ganjaran beribadah di bulan yang tiada sempadan ini. 

Selain disyariatkan berpuasa selama sebulan, umat Islam digalak 
meningkatkan tahap dan kapasiti ibadah wajib dan sunat pada tahap 
maksimum tanpa perlu berlengah lagi.

Dengan janji ganjaran pahala berlipat kali ganda dan pintu keampunan yang 
terbuka luas, maka di bulan inilah peluang terbaik bagi umat Islam merebut 
kesempatan beramal sebanyak mungkin. 

Di samping itu, amalan berbentuk kemanusiaan juga perlu diperluaskan 
seperti memuliakan anak- anak yatim dan menggembirakan fakir miskin 
sepanjang bulan Ramadan adalah sangat terpuji dan amat digalakkan. 

Ramadan turut mengajar kita erti insan dan keinsanan di mana pada saat 
kita kekenyangan dengan makanan yang melimpah ruah, perlulah kita 
ingatkan mereka yang tidak mampu dan sekadar makan apa yang ada. 
Manakala di kala kita berbuka secara ala carte, mereka berbuka ala kadar 
sahaja. Oleh demikian, sikap suka membazir, boros dan membeli juadah 
berbuka secara berlebihan hendaklah dihentikan agar falsafah puasa dapat 
direalisasikan dengan jayanya.

Selanjutnya, amat rugi jika kita masih alpa, lalai dan sibuk dengan rutin 
harian biarpun sudah lebih seminggu berpuasa yang menyebabkan kita 
terlepas peluang serta pakej ibadah yang cukup istimewa ini memandangkan 
Ramadan hanya datang setahun sekali sahaja. 

Pada tahun hadapan belum tentu kita akan bertemu lagi dengan bulan khas 
yang disediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

Biarpun kita mungkin dibebani dengan tugas dan tanggungjawab lain, namun 
di kesempatan Ramadan kali ini perlu diberikan keutamaan serta merancang 
jadual kerja harian sebaik mungkin agar tidak mengganggu 
program menghidupkan Ramadan yang sepatutnya diurus lebih awal. 
Sehebat dan sebijak mana kita mengurus syarikat dan perusahaan, maka 
begitulah juga pengurusan dan pentadbiran 'ihya' Ramadhan yang mesti 
lebih diutamakan.

Dalam pada itu, majikan Islam dan bukan Islam juga perlu peka serta prihatin 
dengan pengisian Ramadan di tempat kerja iaitu dengan menyediakan 
aktiviti serta program khusus bagi memudahkan para pekerja melaksanakan 
ibadah wajib dan sunat seperti majlis berbuka, bersahur, kemudahan 
bertarawih, waktu senggang untuk membaca al-Quran, majlis tazkirah 
Ramadan dan sebagainya.

Secara simboliknya, Ramadan adalah institusi yang mampu menjana 
keperibadian mulia dan modal insan yang berakhlak tinggi serta melatih 
setiap individu menjadi muslim sejati dalam apa jua perkara yang dilakukan. 

Segala pantang larang ketika berpuasa sebenarnya mempunyai hikmah 
yang tersendiri dan merupakan medan kekuatan serta persiapan kepada 
seseorang untuk berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan.

No comments:

Post a Comment