Wednesday, May 12, 2010

kebahagiaan dunia, akhirat







Mukmin takwa dapat kebahagiaan dunia, akhirat

Date: 21-07-2001

Author: Raja Yusoff Ariffin

OLEH kerana kebahagiaan, kegembiraan dan kesenangan di dunia ini bersifat sementara serta terbatas dan singkat waktunya, wajarlah manusia mencari kebahagiaan abadi dan sejati. Dalam kebahagiaan abadi, kegembiraannya terus marak, kepuasannya tidak akan redup, kelazatannya berterusan, kesedapannya tidak akan hilang, kemuliaannya terus utuh dan kenikmatannya tidak luntur. Nilai keabadian ini tidak akan diperoleh dalam taraf dan kedudukan duniawi serta timbunan harta benda dan populariti atau pada kasih mesra wanita jelita yang menawan. Semua bentuk kebahagiaan yang diperoleh daripadanya, tidak abadi. Memang nilai keabadian dan kebahagiaan hanya didapati menerusi jalan yang diredai Allah. Cuma pada cinta kasih-Nya yang paling pemurah dan paling penyayang. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 14 mengenai perkara ini: "Telah dihiasi hati manusia dengan kesukaan kepada barang yang diingini, iaitu wanita, cucu, emas dan perak yang bertumpuk-tumpuk, kuda yang bagus, binatang ternakan dan sawah ladang. Yang demikian itu perhiasan (kesenangan) hidup dunia tetapi di sisi Allah, ada tempat kembali yang baik." Di sisi Allah memang ada kenikmatan dan kebahagiaan yang sebahagian kecilnya dianugerahkan di dunia ini. Bagaimanapun, kebahagiaan dan kesenangan akhiratlah yang lebih besar, baik dan kekal. Teliti firman-Nya dalam surah al-A'la ayat 16-17 yang bermaksud: "Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia padahal akhirat itulah yang lebih baik dan lebih kekal." Dalam surah ar-Ra'd ayat 2 pula, Allah berfirman yang bermaksud: "Allah membentangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan Dia membatasinya, dan mereka berasa senang dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia dengan akhirat tidak lain kecuali bekalan." Allah menjanjikan kebahagiaan yang kekal abadi. Sebagai umat Islam, janganlah kita meraguinya kerana Allah yang berjanji, bukan manusia. Lihat janji Allah itu menerusi ayat 21-22 surah at-Taubah. Maksudnya: "Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya, keredaan dan syurga, bagi mereka di dalamnya ada kenikmatan yang kekal. Hal keadaan mereka kekal selama-lamanya kerana sesungguhnya di sisi Allah itu ada ganjaran yang besar." Memang banyak formula meraih kebahagiaan diberikan pakar dan bijak pandai. Namun, formula daripada Allah saja yang tepat dan terbaik kerana ia bukan hasil pemikiran manusia yang berlebih-kurang tetapi yang diletakkan-Nya sendiri pada kenyataan alam yang kemudian dengan hemah-Nya diberikan maklumat selengkapnya. Secara mudahnya, formula kebahagiaan boleh ditemui dalam al-Quran menerusi surah al-Asyr ayat 3 yang bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Saling berpesan-pesan pada (menjalankan) kebenaran dan saling berpesan- pesan menjalankan kesabaran." Ayat ini mengemukakan empat formula yang memastikan manusia terhindar daripada kerugian dan kecelakaan, iaitu iman, amal soleh atau takwa, saling berpesan menjalankan kebenaran dan saling berpesan menjalankan kesabaran. Keempat-empat formula ini penting. Justeru, rugilah mereka yang tidak tergolong dalam keutuhan formula ini. Iman sebagai faktor utama yang memungkinkan seseorang itu berbahagia dijelaskan dalam ayat 1 surah al-Mukminun yang bermaksud: "Sesungguhnya telah berbahagia orang yang beriman." Tanpa iman, tiada manusia yang akan memperoleh dan menemui kebahagiaan sejati. Ketenteraman, kedamaian, kepuasan dan ketenangan jiwa yang dirasakan orang yang berbahagia akan selalu diberikan kepada orang beriman. Imannya akan bertambah sebagaimana yang disebut Allah dalam surah al-Haj ayat 45 yang bermaksud: "Dan supaya diketahui oleh orang yang diberi ilmu, bahawasanya (ajaranmu) itu benar dari Tuhanmu, lantas mereka beriman kepada-Nya, lalu tenteram hati mereka dengan (ajaran) itu, kerana sesungguhnya Allah memimpin mereka yang beriman di jalan yang lurus." Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkannya dengan kejahatan akan mendapat kebahagiaan. Orang yang telah terang hatinya dengan keimanan akan mendapat kesejahteraan. Hati orang yang beriman akan sentiasa girang dalam mensyukuri nikmat Allah. Di situlah dia merasai kenikmatan kejiwaan (spiritual) yang tidak diperoleh orang yang kufur. Kenikmatan spiritual yang mententeramkan jiwa orang yang beriman itu diperoleh dalam zikir atau ingatan kepada Allah. Orang yang beriman itu tenteram hati mereka lantaran ingat kepada Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingat Allah itu mententeramkan jiwa. (Surah ar-Ra'd, ayat 28) Kebahagiaan mukmin kerana iman dan takwanya merangkumi dua alam, iaitu alam dunia yang sementara dan alam akhirat yang kekal abadi. Selepas menikmati sebahagian daripada dunia, pada puncaknya di akhirat nanti, orang beriman akan menikmati kebahagiaan yang berkekalan. Ini berdasarkan janji Allah dalam surah at-Taubah ayat 72 yang bermaksud: "Allah telah berjanji kepada mukminin lelaki dan wanita, akan menganugerahi mereka syurga yang mengalir padanya sungai, kekal di dalamnya dan tempat yang baik dalam syurga yang kekal, sedang keredaan daripada Allah adalah lebih besar. Yang demikian itu suatu kebahagiaan yang besar." Amal soleh, kebaktian atau takwa pula memancar daripada keimanan itu sendiri. Ia mata rantai keimanan yang menjamin kebahagiaan bagi sesiapa saja yang melaksanakannya tanpa mengambil kira lelaki mahupun wanita. Allah menghidupkan manusia yang sedemikian dengan kehidupan yang baik dan dianugerahi ganjaran yang lebih baik hasil kerjanya. Lihat firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud: "Barang siapa beramal soleh di antara lelaki dan wanita sedang dia itu mukmin, maka Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami akan tunaikan kepada mereka dengan ganjaran mereka yang lebih bagus dari apa yang mereka kerjakan." Kebahagiaan orang mukmin yang bertakwa akan diperoleh di dua tempat, iaitu kebahagiaan dunia sementara dan kebahagiaan akhirat kekal abadi. Memang ada kebahagiaan yang sudah diperoleh di dunia tetapi kebahagiaan akhirat lebih tinggi nilainya. Orang yang beriman dan beramal soleh akan menemui mutiara kebahagiaan yang sejati serta kekal di akhirat. Allah memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya serta dihiasi gelang emas dan mutiara dan memakai pakaian sutera. Ada juga bentuk kebahagiaan yang kadang-kadang disembunyikan Allah. Hanya pada ketika tertentu saja baru ia ditampilkan kepada orang yang berbakti. Perhatikan firman Allah dalam surah as-Sajadah ayat 17 yang bermaksud: "Maka tiada jiwa yang tahu apa yang disembunyikan bagi mereka daripada (sesuatu) pendingin mata (kenikmatan sebagai ganjaran daripada apa yang mereka kerjakan)." Berpesan antara satu sama lain dalam melaksanakan kebenaran, iaitu mengajak beriman kepada Allah dan mengikuti rasul-Nya, sama ada dalam akidah mahupun amal kebajikan menjamin keberuntungan dan kebahagiaan. Mereka yang sedemikian akan memperoleh kebahagiaan. Allah berfirman dan Rasulullah saw turut bersabda mengenainya. Firman itu bermaksud: "Hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang mengajak manusia kepada kebaikan, menyuruh mereka berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kejahatan dan mereka itu adalah orang yang mendapat kejayaan (berbahagia)." (Surah Ali Imran, ayat 104) Sementara hadis pula diriwayatkan Muslim yang maksudnya: "Barang siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, baginya pahala sama dengan mengerjakannya." Orang yang beriman sering berasa tercabar dengan kemungkaran di sekelilingnya. Dia hanya berasa senang hati dan tenang jika dapat berjuang menegakkan prinsip kebenaran dan menghapuskan kemungkaran itu. Allah menyelamatkan mereka yang sedemikian dan memberi balasan azab sengsara kepada yang melakukan kejahatan. Saling mengingati agar berlaku sabar dan menahan diri daripada perbuatan maksiat bermaksud tahan diri dalam mengerjakan kewajipan, tabah menghadapi ujian dan reda dengan keputusan Allah. Perhatikan firman Allah mengenai hal ini dalam surah ar-Ra'd ayat 24 yang bermaksud: "Semoga keselamatan atas kamu lantaran kesabaran kamu. Betapa baiknya balasan akhirat." (END) Source : Berita Harian


No comments:

Post a Comment