Monday, April 26, 2010

kitar semula

Nota 'kitar semula' pencetus kejayaan


PASIR PUTEH 28 Feb. - Biarpun menggunakan nota 'kitar semula', ia sama sekali tidak menghalang Nurul Imani Zakaria, 20, mencatatkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas. Usaha berterusan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman Pasir Puteh itu telah membuahkan hasil apabila dia diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Cemerlang STPM peringkat kebangsaan 2009. Anak kepada pasangan penoreh getah dan guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) itu berkata, dia terpaksa menggunakan nota lama kakaknya dan buku-buku yang dipinjam dari rakan-rakan untuk menjimatkan perbelanjaan kerana ibu bapanya kurang berkemampuan. "Saya berbuat begini kerana mahu berjimat dan tidak mampu mengikuti kelas tambahan di luar seperti kawan-kawan lain. "Berkat keyakinan diri, saya pasrah menggunakan pendekatan sendiri dalam mentelaah pelajaran termasuk memperbanyakkan ulang kaji dan latihan di rumah. "Setiap kali selepas mengulang kaji pelajaran saya sentiasa menunaikan solat hajat, membaca surah Yasin dan memohon restu untuk mencapai kecemerlangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panggung dekat sini semalam. Nurul Imani berkata, kejayaan mencatatkan 5 prinsipal A dalam peperiksaan itu diharap akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar luar bandar untuk menggapai kejayaan yang sama pada masa akan datang. Katanya, ia membuktikan bahawa pelajar luar bandar juga mampu mencatat kejayaan yang lebih cemerlang berbanding pelajar bandar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. "Saya bukanlah seorang pelajar yang pintar sebelum ini kerana hanya memperoleh 2A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 4A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 3A sahaja dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Pencapaian yang lemah itu saya jadikan sebagai iktibar dan pengukur untuk terus berusaha dan membuktikan kegagalan awal bukannya titik penamat dalam pendidikan," katanya. Tambahnya, dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Sejarah dan Geografi serta mendapat biasiswa kerajaan bagi membiayai pengajiannya memandangkan masih ramai lagi adik-adiknya yang ditanggung oleh ibu bapanya. Sementara itu, bapanya, Zakaria Seman, 54, berkata, kejayaan yang dicapai oleh Nurul akan menjadi pembakar semangat kepada tiga adiknya iaitu Nik Nur Asma' Al Husna, 12; Muhammad Abdul Aziz, 15, dan Muhammad Shahir Nur Arif, 17. Katanya, kesemua mereka akan menduduki peperiksaan utama pada tahun ini. (Source by : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment